CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

MAKLUMAT LENGKAP

MAKLUMAT LENGKAP TENTANG MODEL PERSONAL.



Berdasarkan sumber buku Murid dan Alam Belajar untuk Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan oleh Choong Lean Keow menjelaskan bahawa model personal adalah model yang berpegang kepada unsur keperibadian individu. Oleh yang demikian, model-model yang terkandung cuba membentuk pendidikan agar membolehkan kita lebih memahami diri kita, bertanggungjawab terhadap pendidikan kita dan seterusnya mencapai tahap perkembangan yang jauh melebihi tahap maksimum ke arah kualiti hidup yang tinggi. Dengan kata lain, kesemua model tersebut menekankan perspektif bersifat individu serta menggalakkan sifat berdikari yang produktif demi peningkatan kesedaran kendiri dan tanggungjawab terhadap nasib masing-masing.


Justeru, kita boleh menggunakan model personal bagi mengubahsuai persekitaran pembelajaran murid-murid kita. Dalam menggunakan model personal ini, kita boleh berpandukan kepada teknik-teknik bukan mengarah semasa kita membimbing mereka, menggunakan kaedah synectics(sinektik) untuk meningkatkan kreativiti mereka,dan perjumpaan kelas bagi membina pembelajaran komuniti.


Maka model-model tersebut banyak berfokuskan kepada konsep-konsep yang mana juga diutamakan oleh ahli humanistik, iaitu konsep kendiri dan harga diri; arah kendiri yang positif dan sifat berdikari; kreativiti dan sifat ingin tahu dan perkembangan domain afektif dan emosi. Antara model-model tersebut adalah seperti yang berikut:


i) Pengajaran fasilitatif. (Berasaskan kaedah yang dipelopori oleh Carl Rogers dan berpusatkan murid)


ii) Peningkatan kesedaran kendiri. (Bertumpu kepada mengembangkan kesedaran dan penunaian potensi masing-masing.)


iii) Synectics. (Memberi perhatian kepada perkembangan dan aplikasi kreativiti.)

 Melalui sumber internet, saya telah memperolehi maklumat tentang Hiryanto, M. Si iaitu Cikgu Jurusan PLS FIP UNY yang juga telah mengemukakan teori yang sama berkaitan Model Personal iaitu terdapat tiga model yang menerangkan tentang pendekatan yang digunakan berasaskan model personal tersebut. Namun, terdapat sedikit perbezaan antara kedua-dua sumber tersebut iaitu terdapat satu lagi teknik yang boleh digunakan berasaskan model personal iaitu teknik Pertemuan Kelas. Antara kesemua model yang dikemukakan oleh beliau ialah:


i. Model Pengajaran Tanpa Arahan (Non Directive Teaching),


ii. Model Sinektiks (Model Synectics),


iii. Latihan Kesedaran (Awarenes Training)


iv. Pertemuan Kelas (Classroom Meeeting).


Beliau menjelaskan bahawa model personal adalah model yang memusatkan perhatian pada pandangan perseorangan dan berusaha memajukan kemandirian yang produktif sehingga manusia menjadi semakin sedar diri dan bertanggungjawab atau tujuannya.


Sumber: http://masririt.files.wordpress.com/2007/12/model-model-pembelajaran.ppt


Dengan berpandukan buku rujukan yang lain, iaitu buku Murid dan Alam Belajar yang telah diterbitkan oleh Oxford Fajar Sdn. Bhd, kita juga dapat memahami dengan lebih lanjut tentang model Pembelajaran Personal tersebut.


Menurut rujukan tersebut, model pembelajaran personal tersebut bermula dari perspektif kendiri seseorang individu. Model ini cuba menerapkan pendidikan supaya kita dapat memahami diri sendiri dengan lebih baik, bertanggungjawab terhadap pendidikan kita dan belajar ke arah pencapaian yang lebih optimum daripada kini.


Model ini juga menekankan kepada pembentukan kendiri seseorang individu dan mendorong pelajar untuk berdikari secara produktif serta mempunyai kesedaran diri dan bertanggungjawab terhadap matlamat sendiri. Tujuan model personal ini adalah untuk membentuk personaliti yang kompeten, bersepadu dan berkeyakinan.



Matlamat utamanya ialah pembentukan individu serta pencapaian harga diri individu. Oleh itu, model personal terdiri daripada pendekatan untuk membentuk dan menyepadukan aspek emosi serta intelek dalam melahirkan personaliti yang seimbang.


i) Model Pengajaran tanpa arahan.


Model pengajaran tanpa arahan adalah model yang bertujuan untuk membentuk kemampuan dan perkembangan peribadi iaitu kesedaran diri (self awareness), pemahaman (understanding), autonomi, dan konsep kendiri (self concept).


ii) Model Sinektik.


Synectics adalah penyelesaian masalah metodologi yang merangsang proses berfikir yang subjeknya mungkin tidak disedari. Kaedah ini telah dibangunkan oleh George M. Putera (5 April 1918-9 Jun 2009) dan William JJ Gordon, yang berasal dari Arthur D. Little Invention Design Unit pada 1950-an. Mereka mendirikan Synectics Inc (sekarang Synecticsworld) dan metodologi yang telah berkembang secara berturut-turut pada tahun-tahun berikutnya.


Mengikut buku Murid dan Alam Belajar oleh Choong Lean Keow, perkataan synectics (sinektik) ini pada mulanya digunakan dalam seting industri, kemudian di ubahsuai oleh Willian Gordon untuk pengggunaan sekolah rendah dan menengah. Model ini direkabentuk untuk mengajar kemahiran menyelesaikan masalah, aktiviti penulisan dan bidang lain-lain.


Dalam konteks bilik darjah, murid-murid kita akan mengikuti satu siri bengkel sehingga mereka berupaya untuk mengaplikasi prosedur-prosedur tertentu secara individu dan kumpulan koperatif.


Melalui sumbangsaran yang digunakan, murid-murid akan menjadi lebih kreatif dan bebas daripada kongkongan pemikiran bersifat rigid. Akibatnya, mereka akan memperoleh satu kerangka pemikiran dan perspektif yang baru. Tambahan pula, ia dapat memupuk kemesraan antara satu sama lain serta menggalakkan penglibatan yang aktif.



iii) Model Latihan Kesedaran.


Model Pembelajaran Latihan Kesedaran merupakan suatu model pembelajaran yang ditujukan untuk meningkatkan kesedaran manusia. Model ini dikembangkan oleh Milliam Schutz. Ia menekankan tentang pentingnya latihan interpersonal sebagai saranan bagi meningkatkan kesedaran peribadi (pemahaman diri individu).


Terdapat empat jenis perkembangan yang dikukuhkan untuk merealisasikan potensi individu secara teguh, iaitu:


  • Fungsi tubuh.
  • Fungsi personal, termasuk di dalamnya akuisisi pengetahuan dan pengalaman, kemampuan berfikir secara logik dan kreatif dan integrasi intelektual.
  • Perkembangan interpersonal.
  • Hubungan individu dengan institusi-institusi sosial, organisasi sosial dan budaya masyarakat.
Prosedur Pembelajaran


Kunci utama prosedur pembelajaran model ini didasarkan atas teori encounter. Teori ini menjelaskan cara-cara untuk meningkatkan kesedaran hubungan antara manusia yang didasarkan atas keterbukaan, kejujuran, kesedaran diri, tanggungjawab, perhatian terhadap perasaan diri sendiri atau orang lain, dan berorientasi pada keadaan saat ini.


Aplikasi


Sampai saat ini, masih sangat sedikit sekolah atau guru yang menerapkan model ini. Permainan-permainan sederhana dapat dilakukan untuk keperluan ini. Model ini juga dapat dilakukan sebagai selingan yang tidak memerlukan masa terlalu banyak. Dalam pelaksanaan perbincangan, keterbukaan dan kejujuran menjadi sangat penting. Hasil penelitian menunjukkan bahawa model ini dapat meningkatkan perkembangan emosi.

 
iv) Model Pertemuan Kelas


Model pembelajaran pertemuan kelas diciptakan berdasarkan terapi realiti yang dipelopori oleh William Glasser. Glasser percaya bahawa permasalahan manusia kebanyakannya disebabkan oleh kegagalan melibatkan diri dalam lingkungan sosialnya (kegagalan bersosial). Ia percaya bahawa setiap manusia mempunyai dasar pengukuhan iaitu harga diri dan cinta.


Prosedur Pembelajaran


Model pertemuan (perbincangan) kelas terdiri daripada enam tahap iaitu:-


a. Menciptakan iklim (suasana) yang kondusif (selesa).


b. Menyampaikan permasalahan semasa sesi perbincangan.


c. Membuat penilaian peribadi.


d. Mengenalpasti kaedah penyelesaian masalah.


e. Membuat komitmen.


f. Merancang tindakan lanjut.


Strategi Pembelajaran


Guru membuat komitmen bersama untuk melaksanakan langkah-langkah penyelesaian masalah tersebut.


Aplikasi


Model pertemuan kelas ini dapat dilakukan maksimum tiga kali sehari. Tapi, biasanya sekali sehari sudah cukup bergantung kepada masalah yang dihadapi.


Sumber: http://wawan-junaidi.blogspot.com/2009/06/model-pembelajaran-pelatihan-kesadaran.html


Teori Pembelajaran Humanis.

Model pengajaran personal juga mempunyai kaitan dengan teori pembelajaran humanis kerana ia banyak menumpukan tentang konsep kendiri dan motivasi serta emosi yang ada dalam diri seseorang individu.


Berdasarkan buku Psikologi Dalam Bilik Darjah oleh Ee Ah Meng (1994), teori pembelajaran humanis menumpukan pada apa yang berlaku dalam diri seseorang individu seperti perasaan atau emosinya. Pendekatan humanis menekankan cara fikiran, pengamatan serta interpretasi seseorang individu tentang kejadian-kejadian atau satu-satu peristiwa itu.


Ahli-ahli psikologi humanis mempercayai bahawa seseorang individu adalah bertanggungjawab ke atas tindakannya. Contohnya, kalau seseorang ingin mencapai kecemerlangan dalam hidup, dia hendaklah bertindak dan berusaha ke arah pencapaiannya.


Menurut pendekatan ini, kuasa motivasi seseorang individu ialah kecenderungannya untuk berkembang serta mencapai kebenaran diri (self-actualization). Ini bermakna setiap individu mempunyai keperluan untuk memperkembangkan potensinya ke tahap yang maksimum. Walaupun terdapat halangan-halangan, tendensi semula jadi ialah untuk mencapai kebenaran diri atau memperkembangkan potensi. Konsep ini (kebenaran diri) sebenarnya dipelopori oleh Abraham Maslow, yang juga merupakan ahli psikologi humanis.


Ahli psikologi humanis yang lain ialah Carl Rogers. Ketika menjalankan sesi kaunseling, Carl Rogers menggunakan pendekatan tanpa arah. Ini bermakna Carl Rogers mendorong kliennya meluahkan perasaan-perasaan serta interpretassi-interpretasi terhadap peristiwa-peristiwa yang dialaminya. Rogers hanya duduk, mendengar secara aktif serta menggunakan teknik refleksi idea dan perasaan dalam sesi-sesi terapi.


Teori humanis menekankan objektif-objektif berikut :


  • Meningkatkan arah kendiri dan kebebasan pelajar.
  • Membantu pelajar agar lebih bertanggungjawab untuk menentukan apa yang mereka ingin pelajari.
  • Meningkatkan daya cipta pelajar-pelajar.
  • Memperkembangkan minat dalam bidang seni.
  • Meningkatkan naluri ingin tahu pelajar-pelajar.
Kebanyakan ahli-ahli teori humanis kurang menekankan pemberian gred, kurikulum yang seragam, rancangan pelajaran dan kedatangan yang wajib. Yang menjadi asas kepada teori pembelajaran humanis ialah kepercayaan bahawa pelajar mempunyai keperluan untuk sempurna kendiri (self-actualization). Pihak guru seharusnya membina dan memperkembangkan individu berasaskan keperluan tersebut. Ini bermakna bukannya guru atau perancang pendidikan yang menentukan kandungan kurikulum itu kerana dialah yang mengetahui apa yang dia mahu pelajari.


Pelajaran hendaklah disusun agar pelajar-pelajar mempelajari sesuatu yang bermakna. Sekiranya ini berlaku, pelajar-pelajar akan berhasrat untuk belajar, ingin berkembang, ingin menerokai, ingin menguasai dan ingin mereka cipta.


Pembelajaran humanis juga menitikberatkan perkembangan cara bebas dan bertujuan membantu kanak-kanak daripada tekanan-tekanan keluarga dan masyarakat. Hasil sosial dan emosi adalah lebih dipentingkan dari hasil akademik. Ahli-ahli pembelajaran humanis berpendapat bahawa pada akhirnya, hasil akademik pelajar-pelajar adalah lebih baik berbanding dengan sistem persekolahan tradisional. Ini berlaku kerana dalam pengajaran secara humanis, pembelajaran arah kendiri amat ditekankan. Ciri inilah yang menyebabkan pembelajaran itu amat bermakna dan berupaya menggembirakan pelajar-pelajar.

Teori-teori humanis menitikberatkan prinsip-prinsip berikut:


i. Pelajar-pelajar akan belajar apa yang mereka kehendaki dan apa yang ingin mereka tahu.


ii. Keinginan untuk belajar dan mengetahui bagaimana hendak belajar adalah lebih penting daripada pemerolehan fakta-fakta.


iii. Penilaian yang dibuat oleh pelajar sendiri adalah lebih bermakna bagi dirinya.


iv. Perasaan pelajar-pelajar adalah sama penting dengan fakta-fakta. Mempelajari bagaimana hendak merasa adalah sama penting dengan mempelajari bagaimana hendak berfikir.


v. Pembelajaran hanya berlaku jika pelajar-pelajar tidak berasa terancam. Suasana sosioemosi yang sihat di mana guru lebih memuji daripada mengkritik dan lebih membimbing daripada memarahi hendaklah diwujudkan. Murid akan belajar dengan lebih berkesan jika harga dirinya tidak tergugat.


Cara pengajaran di dalam kelas mengikut pandangan tokoh Humanis.

Pembelajaran melalui kaunseling.


Model tidak direktif (non-directive) oleh Carl Rogers menggambarkan falsafah dan teknik pengajaran model personal. Model ini ingin membentuk satu komuniti satu komuniti pelajar yang berdisiplin diri serta mempunyai kesedaran peribadi yang tinggi.


Rogers (1982) dan beberapa orang penyokong model kaunseling tidak direktif dan mereka percaya bahawa manusia akan berkembang dengan perhubungan manusia yang positif. Oleh itu, pengajaran yang ditekankan dalam pembelajaran pelajar adalah dengan berfokuskan hubungan dengan manusia berbanding pengajaran konsep mata pelajaran. Rogers menggunakan terapi sebagai cara pengajaran.


Bagi model ini, guru dianggap sebagai kaunselor, di mana penekanan merupakan satu pakatan antara guru dan murid. Guru memainkan peranan penting dalam membimbing pelajar ke arah memahami bagaimana pelajar boleh memainkan peranan utama dalam pembelajaran mereka. Antaranya, guru membantu pelajar mengarah diri masing-masing demi pencapaian matlamat kendiri. Dalam proses perkembangan diri, guru memberikan maklum balas tentang kemajuan diri dan membantu pelajar menyelesaikan masalah jika ada. Yang penting ialah guru mewujudkan pakatan dengan pelajar bertujuan membimbing dan membantu mereka sepanjang penyelesaian tugas dan masalah.


Mengikut Joyce et al., (2002), antara tujuan model non-directive ialah:-


• Menghala tuju pelajar ke arah kesihatan mental dan emosi yang lebih tinggi dengan membentuk keyakinan kendiri, penghargaan diri yang realistik dan perasaan empati terhadap orang lain.


• Meningkatkan bahagian pendidikan yang menekankan keperluan dan aspirasi pelajar, dimana setiap pelajar diambil sebagai pakatan untuk menentukan apa dan bagaimana pelajar akan belajar.


• Membentuk jenis pemikiran kualitatif yang khusus seperti kreativiti dan ekspresi peribadi.


Sebagaimana yang termaktub dalam pengajaran mengikut Rogers, pertemuan dengan pelajar harus wujud suatu persekitaran yang penuh dengan kasih sayang, keyakinan, empati dan saling memahami. Guru akan membantu murid memahami bagaimana menghadapi tugasan serta bagaimana menuju ke arah penyempurnaan kendiri.


Proses pembelajaran sebegini bermula dengan guru membantu pelajar memperjelas masalah. Kemudian, pelajar dibantu ke arah bertanggungjawab terhadap perubahan tingkah laku untuk menyelesaikan masalah. Guru juga akan membantu pelajar mencuba dan membuat refleksi terhadap keputusan yang dibuat dalam percubaan tersebut. Di samping itu, pelajar dibimbing ke arah pembentukan perasaan empati terhadap orang lain dalam persekitaran pembelajaran.


Definisi Personaliti

Satu definisi awal berkaitan personaliti telah diberikan oleh Menninger (1930). Menurut beliau, personaliti ialah apa-apa yang sebenarnya menghuraikan tentang seseorang. Definisi ini mengandaikan tentang keadaan biologi dan fisiologi seseorang dan ia juga dianggap sebagai terlalu ringkas.


Satu definisi yang boleh dikatakan lebih menyeluruh telah diberikan oleh Waren dan Carmichael (1930). Menurut mereka, personaliti ialah organisasi dinamik dalam diri individu yang terdiri daripada sistem psikologikal dan fizikal yang menentukan penyesuaiannya kepada persekitarannya.


Selain dua definisi yang telah diberikan oleh tokoh-tokoh tersebut, terdapat definisi lain yang berkaitan dengan personaliti. Misalnya, Alport (1937) telah mengumpulkan lebih kurang lima puluh definisi. Setiap definisi yang berbeza ini menggambarkan beberapa perkara.


Perkara pertama ialah kaedah yang digunakan oleh ahli psikologi berlainan antara satu sama lain dalam mengkaji personaliti. Perkara kedua ialah setiap satu definisi tersebut tidak boleh dikatakan salah atau betul.


Kajian tentang personaliti boleh merangkumi aspek biokimia dan fisiologi yang mempengaruhi tingkah laku. Beberapa definisi personaliti boleh merangkumi daripada proses dalaman bagi seseorang kepada tingkah laku yang boleh diperhatikan dalam konteks hubungan antara individu. Setiap satu definisi tersebut merujuk kepada jenis tingkah laku yang berbeza dan penggunaan kaedah yang berlainan. Definisi tersebut juga menghuraikan tentang apa-apa yang berlaku dalam diri individu atau bagaimana individu tersebut berinteraksi sesama mereka.


Sumber: http://kolejkamunting.multiply.com/journal/item/10/PENGENALAN_PADA_KECELARUAN_PERSONALITI


Setiap individu yang wujud di permukaan bumi ini mempunyai sifat, sikap, gaya, dan personaliti tersendiri. Ianya berbeza bagi setiap individu kerana tidak ada individu yang benar-benar sama dari sifat-sifatnya dan setiap individu adalah unik, tetapi berkongsi sama beberapa sifat tertentu dengan orang lain.


Personaliti atau sahsiah melambangkan ciri-ciri keperibadian seseorang individu itu, dan sememangnya mencirikan perbezaan seorang manusia dengan manusia yang lain. Dua konsep yang perlu diberikan penekanan iaitu tipikal dan berbeza.


Personaliti seseorang adalah mengandungi kesemua ciri psikologi yang secara relatifnya tidak berubah, yang tipikal (yang biasa terdapat) pada orang tersebut. contohnya mereka mempunyai tipikal yang pemurah, pemalu, impulif dan lain-lain. Penekanan kedua terhadap istilah berbeza. Pola-pola unik yang tipikal pada setiap individu seperti cara bertindak, berfikir, dan merasa, menyebabkannya berbeza daripada individu yang lain.


Personaliti dan perkataan Inggeris iaitu person adalah dua perkataan yang berkait rapat. Secara umumnya, personaliti memperihalkan tentang sifat-sifat fizikal, emosi dan kognitif seseorang individu iaitu cara mereka berfikir, beraksi, beremosi, berpersepsi dan lain-lain.


Personaliti berkembang atau membentuk kerana ia dipengaruhi oleh tiga faktor iaitu faktor perwarisan, pengalaman dan budaya.


a) Faktor Perwarisan


Kajian untuk membuktikan kesan perwarisan ke atas personaliti ialah melalui kajian kembar seiras, dimana kembar seiras tersebut dibesarkan di dalam persekitaran yang berbeza, tetapi ianya masih mempunyai banyak kesamaan yang nyata pada kembar seiras. Dengan kajian ini menunjukkan bahawa sesetengah ciri personaliti adalah diwarisi melalui genetik atau biologikal.


b) Faktor Pengalaman.


Personaliti juga dipengaruhi oleh kesan daripada pandangan dengan ibu bapa,kawan sepermainan, saudara mara dan orang lain. Namun demikian, pengalaman awal kanak-kanak adalah penting dalam mempengaruhi personaliti mereka iaitu melalui perhubungan emosi awal, penyusuan botol dan penyusuan ibu, rutin amalan pemeliharaan anak, ibu bapa kucar-kacir dan juga disebabkan oleh sifat keluarga yang autokratik berbanding demokratik.


Berdasarkan faktor perhubungan emosi awal, kebanyakan ahli psikologi percaya bahawa perhubungan emosi awal disebabkan oleh ibu. Hal ini kerana, apabila ibu menghabiskan masa dengan anak-anak mereka, maka mereka telah mempunyai peluang yang besar untuk mempengaruhi emosi dan tingkah laku anak-anak mereka dan juga dijadikan sebagai model.


Kaedah penyusuan seseorang ibu iaitu penyusuan botol atau penyusuan ibu juga merupakan salah satu faktor yang boleh mempengaruhi personaliti seseorang yang bermula pada zaman kanak-kanaknya. Kebanyakan ibu masih memilih penyusuan ibu kerana mereka percaya ia boleh mewujudkan perhubungan yang lebih hangat, mesra dan kasih sayang dengan anak-anaknya. Namun, ahli psikologi lebih menekankan cara penyusuan anak, di mana tidak mengira sama ada yang diberi itu susu botol atau susu ibu, jika semasa penyusuan itu ibu tidak menunjukkan kemesraan, kasih sayang kepada anak, maka ini akan menghasilkan anak-anak yang mempunyai personaliti yang kurang sihat.


Selain itu, rutin amalan pemeliharaan anak iaitu cara ibu menceraikan susu anak, latihan membuang air besar dan kecil dan amalan lain yang rutin juga adalah merupakan faktor yang boleh mempengaruhi pembentukan personaliti bayi. Sekiranya ibu bapa tersebut merupakan orang yang bertanggungjawab, konsisten, dan memahami, anak-anak mereka akan mampu membentuk sikap dan keyakinan yang positif yang akan membawa mereka ke arah pembentukan personaliti yang seimbang dan mudah menyesuaikan diri.


Di samping itu, hubungan ibu bapa yang kucar-kacir juga mempengaruhi personaliti anak-anak mereka. Sekiranya ibu bapa mewujudkan rumahtangga yang tidak selamat dan menunjukkan tingkah laku yang tidak konsisten kepada anak-anak, saling membenci, maka ia lebih cenderung menghasilkan anak-anak yang tidak gembira dan mengalami tekanan.


Keluarga yang autokratik berbanding demokratik turut memainkan peranan. Sesetengah ahli psikologi percaya bahawa cara pemeliharaan anak, sama ada secara autokratik (ibu bapa menggunakan kuasa untuk memberi arahan dan anak-anak hanya menerima arahan) atau demokratik (dimana anak-anak diberi kebebasan secara berpanduan) adalah mempengaruhi perkembangan personaliti anak-anak.


c) Faktor Budaya.


Tingkah laku boleh disalurkan daripada ibu bapa, komuniti dan masyarakat kepada ahli-ahlinya yang baru. Anak-anak sangat cenderung meniru tingkah laku meeka yang terdekat dengan mereka. Faktor-faktor persekitaran baik fizikal, budaya mahu pun sosial boleh membentuk personaliti ahli-ahlinya. Kelompok agama, kelompok etnik, komuniti dan kelompok sosial seperti kelab dan organisasi adalah antara contoh faktor persekitaran yang berperanan penting dalam mempengaruhi pembentukan personaliti.


Sumber: http://kolejkamunting.multiply.com/journal/item/6