IMPLIKASI MODEL PERSONAL DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN.
Dalam mengaplikasi model personal, persekitaran pembelajaran perlu diwujudkan supaya individu membentuk kesedaran diri dan identiti sejak awal lagi. Model personal dalam pengajaran dan pembelajaran menekankan individu sebagai insan yang unik dan cabaran untuk membentuk personaliti yang berintegrasi, penuh keyakinan, dan kompeten. Matlamat ini adalah untuk membantu setiap pelajar bertanggungjawab terhadap perkembangan diri dan berjaya mencapai penghargaan diri serta keharmonian kendiri. Maka, adalah penting untuk guru membentuk serta menggabungkan aspek intelek dengan emosi demi melahirkan suatu personaliti yang seimbang.
Dalam penggunaan model personal, kandungan dan aktiviti tidak dipreskripsi, tetapi ditentukan oleh pelajar apabila bertemu dan berinteraksi dengan guru. Maka model non-directive ini bergantung pada faktor semulajadi dan bukan ditentukan oleh kesan pengajaran. Kesan pengajaran amat bergantung pada kejayaan pemupukan perkembangan diri pelajar. Oleh itu, guru perlu menyediakan suatu iklim sosial yang mengizinkan pelajar meluahkan perasaan dan bebas untuk mengekspresi perasaan. Di sinilah pelajar perlu diberikan peluang untuk meluahkan perasaan dalam perbincangan individu atau kumpulan.
Selain itu, implikasi apabila menggunakan teknik atau model Synectics dalam pengajaran ialah murid-murid akan mengikuti satu siri bengkel sehingga mereka berupaya untuk mengaplikasi prosedur-prosedur tertentu secara individu dan kumpulan koperatif.